Tuesday, March 27, 2012
solat yang khusyuk
Solat khusyuk, ingat Allah untuk raih keberkatan
Di luar waktu solat, mungkin manusia terganggu untuk mengingati Allah SWT. Tuhan telah perintahkan supaya manusia mendirikan solat semata-mata untuk mengingati-Nya seperti yang ditegaskan dalam surah Toha ayat 14.
Tiada percakapan atau perbuatan selain itu diperlukan dalam ibadat solat. Justeru itulah saat yang paling sesuai untuk mengingati Allah (zikrullah) dengan khusyuk.
Jika ketika solat yang Tuhan perintahkan supaya mengingati-Nya, tiba-tiba tidak ingat juga kepada-Nya bahkan lalai dengan perkara duniawi, maka apakah jaminan untuk ingat kepada Allah SWT pada ketika yang lain.
Ingat kepada Allah SWT dan khusyuk itu adalah dua perkara yang sebati menjadi satu. Sebuah lagi firman Allah SWT yang menegaskan bahawa khusyuk itu suatu kewajipan bagi orang yang beriman, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun ayat 1 dan 2)
Allah SWT beri jaminan kepada orang mukmin yang khusyuk dalam solatnya, sebagai orang yang berjaya dan bertuah. Lantaran usahanya bersungguh-sungguh menyelaraskan antara kata hati dan ucapan lidahnya dalam solat.
Dalam surah al-Mukminun itu Allah SWT telah menyenaraikan ciri-ciri orang yang berjaya, iaitu orang-orang yang menjauhi perbuatan dan perkataan yang tidak berfaedah.
Diikuti orang-orang yang menunaikan zakat. Seterusnya orang-orang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki.
Tetapi dalam banyak sifat orang-orang yang berjaya itu, Allah SWT letak khusyuk dalam solatnya sebagai sifat bertuah yang terulung.
Tujuannya untuk memberitahu bahawa orang yang kehilangan khusyuk dalam solatnya, bererti telah tertinggal jauh di belakang atau terlepas peluang untuk mencapai kejayaan dan kelepasan daripada azab di akhirat kelak.
Ini menunjukkan bahawa khusyuk dalam solat itu amat dikehendaki dan sangat disetujui oleh Allah SWT.
Ia menjadi agenda utama di samping menjaga sifat-sifat al-falah yang lain, seperti ditegaskan dalam surah al-Mukminun itu.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Hanya sanya solat itu ialah beribadat dengan tetap dan ketenangan hati (tamakkun), kerendahan diri dan jiwa (tawaduk), berharap (tadharru’) terhadap Allah SWT di samping meletakkan kedua-dua tangannya ke dada dan memohon doa (Allahumma, Allahumma).”
Lantaran terdapat banyak doa dalam solat, maka di antara pengertian solat ialah doa. Selain suatu ibadat yang dimulai dengan Takbiratul Ihram dan diakhiri dengan salam, serta beberapa rukun qalbi, fi’li dan qauli di dalamnya.
Misalnya dalam bacaan al-Fatihah terdapat doa yang memohon supaya ditunjukkan jalan yang lurus, iaitu jalan para nabi dan mursalin.
Juga minta dijauhkan daripada perkara terkutuk seperti yang dilakukan oleh puak Yahudi, jalan sesat yang dilakukan oleh golongan Nasrani.
Sesiapa yang tidak melakukan solat dengan tamakkun, tawadhdhu’ dan tadharru’, maka solatnya disifatkan oleh Nabi s.a.w. itu sebagai hidaj (kudung), maksudnya ibadat itu cacat dan tidak sempurna.
Manusia mesti mengenali Tuhannya yang disembah itu adalah Allah SWT yang Maha Cantik (Innallaha Jamil wa Yuhibbul Jamal), Dia tidak menerima ibadat melainkan ibadat yang cantik juga (sempurna tidak kudung).
Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang solatnya tidak mencegah daripada melakukan perkara keji dan mungkar, tidaklah mendekatkan dirinya dengan Allah SWT, melainkan dia semakin jauh daripada-Nya.”
Jika makanan daripada bermacam jenis mengandungi pelbagai zat dan khasiat untuk tubuh badan manusia, solat adalah ibadat fardu yang semestinya mempunyai khasiat yang luar biasa. Khasiat solat ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut ayat 45)
Ayat tersebut adalah jaminan Tuhan terhadap orang yang melakukan solat dengan khusyuk dan sempurna.
Jika seseorang menunaikan solat tetapi perkara keji dan mungkar masih dilakukannya, ia jadi hujah bahawa sebenarnya orang berkenaan tidak mendirikan solat, seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Meskipun mereka mendakwa telah mendirikan solat, tetapi di sisi Tuhan solat orang itu tidak diiktiraf sebagai solat.
Ini kerana solat yang dilakukan tanpa khusyuk, dan tidak memenuhi seperti yang disyariatkan oleh Rasul-Nya Muhammad s.a.w., sebaliknya ia hanya himpunan gerak-geri dan bacaan, sekadar suatu kelaziman bagi orang yang lazim mendirikan solat.
Dilihat seolah-olah bagaikan solat, melakukan rukuk dan sujud tetapi pada hakikatnya ia sekadar suatu pergerakan tubuh badan yang dilihat menyerupai solat.
Rukuk dan sujud jenis itu, tidak dianggap rukuk dan sujud jika dilakukan dalam keadaan lalai dan tidak khusyuk kepada Allah SWT.
Ibarat orang yang sakit mendakwa telah makan ubat, sebenarnya apa yang dimakan hanyalah benda yang pada zahirnya menyerupai ubat.
Tetapi ia bukannya ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor pakar. Justeru itu penyakitnya semakin tenat dan tidak sembuh.
Jika seseorang itu benar-benar mendirikan solat seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w., Allah SWT beri jaminan bahawa solatnya itu mampu mencegah perkara keji dan mungkar, jaminan tersebut suatu yang pasti.
Dipetik daripada ruangan Mauidzah oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harakah 5-8 Rabiulakhir 1433 / 27 Februari – 1 Mac 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment