Monday, June 13, 2011

Buletin Utama TV3

Balik cuti ni, ingat bolehlah konsisten untuk update hal-hal semasa dengan adanya tv di rumah.
Sekali tengok buletin utama, tv3. Aishh, sakit telinga dengar, sakit mata tengok. Sakit dengan fitnah yang ditabur dan putar belit yang dilakukan.

    

Tertanya-tanya di hati, bagaimanalah penonton lain yang daif akan kebenaran. Penonton yang betul-betul bergantung kepada media utama untuk mendapat info berkenaan hal semasa.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [al-Hujurat:5]

Orang yang fasik disini adalah orang yang tidak kita yakini amanahnya; dia mungkin bersolat, tapi masih lagi melakukan maksiat dan dosa, tidak benar-benar beriman dengan ayat Allah dan berpotensi utk berbohong bagi menjaga kepentingan sendiri.
Menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini: bermaksud dengan info salah tentang sesuatu perkara, kita mungkin menyebarkan keyakinan salah tersebut kepada orang lain, membenci pihak yang tidak sepatutnya, dan juga mungkin membentuk satu persepsi negatif kepada pihak yang terlibat. Lantas menyebabkan kita membuat keputusan dan melakukan perkara yang salah. Perkara ini walaupun dilihat kecil, tetapi dalam konteks masyarakat, akan memberi kesan yang besar dan menyeluruh.
 Kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan: Betapa Allah menyayangi kita, mengajarkan kita cara terbaik dalam menerima berita. Dia tidak mahu kita menyesal akan perbuatan salah kita, hanya kerana kita tidak mengetahui kebenaran. Jadi Allah mengajarkan kita supaya selidik, mencari kebenaran dan tidak mudah untuk menerima sesuatu berita.

Kasihan kepada pihak media jika mereka juga antara golongan yang daif tentang kebenaran. Kasihan kepada mereka jika mereka terpaksa melakukan demikian atas sebab dunia dan survival kerjaya. Kasihan kerana mereka tidak mengetahui bahawa fitnah itu adalah lebih besar akibatnya daripada membunuh.

  JOM BERDOA!
Semoga Allah memelihara kita semua daripada info yang salah, daripada ilmu yang batil, daripada terlibat dengan fitnah, juga memelihara kita daripada mengutamakan kepentingan dunia daripada ajaran al-Quran.

Allahua'lam.


No comments:

Post a Comment